SEMANGAT PATRIOTIK
Thursday, 24 April 2014
Hilang Patriotisme, Tercemarlah Kesejahteraan Bangsa
Peristiwa demi peristiwa yang berlaku di sekeliling menjadikan saya keliru. Kekeliruan itu mematikan hasrat untuk mengajak pembaca supaya bersyukur dengan keamanan dan keselesaan yang dinikmati. Sebelum ini, kita cukup berbangga sebagai masyarakat yang bersifat majmuk dan boleh hidup dengan aman serta semangat setia kawan. Satu demi satu kejadian telah membunuh rasa damai dan masyarakat menjadi gusar disebabkan peristiwa-peristiwa yang berlaku.
Masyarakat Islam yang sedang melaksanakan ibadah puasa juga disinggung dengan provokasi-provokasi yang mencabar kesabaran. Sedangkan, puasa dalam bulan Ramadan merupakan sekolah tanpa binaan fizikal. Suatu persekolahan yang mendidik hati agar melindungi sifat-sifat mahmudah daripada sifat-sifat mazmumah. Tentulah sesuatu yang ironi apabila puasa tidak dapat menganjurkan rasa aman dan tenang. Ataupun, kesejahteraan hidup dicemarkan ketika umat Islam sedang menjalani ibadah berpuasa.
Keamanan dan kesejahteraan terbina kerana adanya perpaduan. Tetapi sukar untuk membentuk perpaduan jika tidak ada patriotisme. Keamanan adalah asas kepada pembinaan pembangunan. Juga asas kepada kemajuan yang menjadi proses pewujudan tamadun bangsa. Setiap tindakan yang bercanggah dengan nilai-nilai perpaduan adalah tidak patriotik. Begitu juga perbuatan yang menghalang kemajuan juga tidak mencerminkan kecintaan terhadap negara. Tindakan-tindakan yang berbentuk provokatif dan menyalahi undang-undang juga menggambarkan tiada patriotisme dalam jiwa. Maka, secara ringkasnya apa sahaja perkara yang tidak mesra perpaduan dan yang boleh meruntuhkan peradaban adalah tidak patriotik.
Berzina, bertindak
samseng, buang bayi, buli, bunuh, “merempit”, melakukan provokasi terhadap
masyarakat umum, menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas, merosakkan harta
awam, minum arak, politik wang, ponteng sekolah, rasuah, rompakan dan sumbang
mahram merupakan contoh-contoh salah laku yang mencerminkan tidak ada semangat
patriotik dalam diri. Tetapi, jika seseorang menjalankan tanggungjawab agamanya
dengan bersungguh-sungguh sekali gus, ia juga memelihara nilai-nilai patriotik
dalam dirinya.
Kemerdekaan yang kita nikmati, meniti usia enam dekad. Pedih dan pahit perjuangan dahulu semakin tinggal kenangan tanpa rasa empati. Terutamanya dalam kalangan generasi muda. Generasi yang bersusah-payah berjuang dan mendokong perjuangan, sudah menjadi kalangan warga emas, semakin menyusut bilangan mereka dan tidak kurang yang pergi meninggalkan kita. Walaupun sebahagian daripada kita membaca sejarah dan latar belakang pembinaan negara, tetapi tanpa faham dan rasa. Lantas, perjuangan dahulu hanya ibarat mitos yang tidak cukup menginsafkan. Sudah menjadi resam, keselesaan menjadikan manusia rasa sukar untuk menjiwai, mengapa patriotisme perlu ada dalam sanubari setiap diri seorang rakyat.
Titik mula patriotisme adalah dengan memahami sejarah dengan pemahaman yang dalam. Walaupun barangkali sukar untuk membayangkan diri sendiri sebagai sebahagian watak dalam sejarah. Usah juga kita bertanya apa yang negara kita boleh berikan kepada kita, tetapi seharusnya kita yang bertanya pada diri sendiri, apa yang kita mampu berikan kepada negara. Sementelah kita dilahirkan, dididik dan mendewasakan diri di atas tanah kelahiran ini. Ibarat berbudi kepada tanah, akhirnya kita juga yang akan nikmati hasilnya.
Dari satu sudut yang lain, kita juga harus menginsafi bahawa perjuangan tidak akan pernah selesai kerana cabaran sentiasa berubah menurut perubahan realiti. Namun, jika jiwa memiliki jati diri yang tinggi ia mampu menempuhi apa-apa jua bentuk cabaran. Justeru, seorang rakyat seharusnya juga seorang patriot walaupun tidak ditugaskan di medan perang. Pada zaman tanpa sempadan ini hanya individu yang peka sahaja dapat memahami dan mengenal pasti kewujudan ancaman yang pelbagai bentuk. Menjadikan peperangan antara kalangan manusia dan negara, lebih bersifat abstrak dan subjektif.
Seorang warga yang sensitif dengan nilai-nilai budaya dalam masyarakatnya akan berfikir dengan teliti dan mendalam sebelum melakukan tindakan, termasuklah apa-apa yang didakwa sebagai penghasilan sebuah karya. Amat tidak adil, atas nama kebebasan bersuara atau kebebasan berkarya, sensitiviti masyarakat tidak dipedulikan. Setiap masyarakat mempunyai budaya hidup dan keunikan yang tersendiri. Ada perbezaan budaya di antara kita dengan orang Indonesia walaupun kita dan mereka di bawah rumpun yang sama. Begitu juga di antara budaya hidup orang Turki dan orang Melayu di Malaysia walaupun kedua-duanya mengamalkan ajaran agama yang satu.
Oleh yang demikian,
tidak sewajarnya kita memandang remeh
persepsi yang tersendiri orang Islam tempatan terhadap isu-isu tertentu
hanya dengan dakwaan tidak bersikap terbuka. Mungkin bertujuan hendak mengubah
pemikiran yang dianggap tertutup. Sekali pun benar, haruslah dilakukan dengan
cara yang tidak menyinggung hati banyak orang. Apabila pesan orang-orang lama
seperti, “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” tidak dipedulikan,
maka sedikit-sebanyak kesannya boleh menggugat kesejahteraan hidup
bermasyarakat. Begitulah juga sebaliknya, apabila kita melawat atau melakukan
ziarah di tempat orang lain. Sensitiviti masyarakat tempatan perlu diambil
tahu, setakat mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang berteraskan
wahyu Ilahi. Agama Islam merupakan agama yang fleksibel, tetapi kebijaksanaan
amat diperlukan bagi memperlihatkan Islam agama yang amat indah di mata semua
orang.Malangnya dalam kalangan masyarakat kita, ada segelintir yang cuba menegakkan benang yang basah hanya kerana ada kepentingan politik. Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai ‘asabiyah, “Apakah yang dikatakan sebagai ‘asabiyah?’ Jawab Baginda, ‘bahawa kamu menolong kaummu dalam kezaliman.” (Dari Abu Dawud)
Jika kesejahteraan sentiasa diganggu-gugat, tentunya akan memberi kesan kepada kelangsungan peradaban bangsa. Tamadun bangsa yang telah dibina, perlu sentiasa diisi, dipelihara, dipertahankan malah diperkukuhkan. Tahap kredibiliti belia pada hari ini dapat memberi jangkaan yang hampir tepat tentang keadaan negara pada masa akan datang. Selaras dengan kata-kata Dr Yusuf al-Qaradhawi, “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah pada keadaan generasi mudanya pada ketika ini. Sekiranya mereka dalam kalangan yang berakhlak dan mempunyai budi pekerti yang tinggi maka, keadaan negara pada masa akan datang, tentunya aman dan makmur. Jika keadaan sebaliknya maka, bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang bakal berlaku.”
Membina jati diri dan patriotisme perlu dilakukan seawal mungkin, ibarat melentur buluh. Sesetengah negara telah mendedahkan pendidikan patriotisme kepada kanak-kanak seawal mereka berusia tiga tahun. Dalam usia muda, mereka telah dikenalkan dengan simbol-simbol yang berkaitan dengan negara mereka seperti pemimpin dan bendera negara (Ku Hasnita Ku Samsu & Mohd Haizam Mohd Nor, Jati, Vol., 16, Disember 2011).
Serasanya, tahap patriotisme sesetengah warga Malaysia perlu dirawat dan menjalani pemulihan. Ibarat penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan, ia harus dibendung sejak awal lagi. Ajari anak-anak, jika kita senyum pada bunga, bunga akan senyum pada kita kembali dan dunia akan menjadi indah untuk didiami.
Ditulis oleh Siti Shamsiah Binti Md Supi. Posted in Utusan Malaysia
Pemupukan Nasionalisme dan Kepentingannya Dalam Kalangan Remaja Kita
Malahan,
mata pelajaran Sejarah boleh digunakan sebagai alat untuk menyemai sikap
patriotik dalam minda remaja kita. Subjek ini yang penuh dengan fakta dan kisah
perjuangan pejuang negara mampu dihayati oleh pelajar jika cara penyampaiannya
lebih berkesan dan praktikal. Pelajar yang memahami dan menghargai subjek
Sejarah sudah pasti akan mempunyai satu pandangan positif tentang negaranya
kerana menyedari betapa besarnya pengorbanan yang sudah dilakukan oleh generasi
sebelum mereka untuk memastikan negara ini terus wujud di persada dunia.
Justeru, subjek Sejarah boleh dijadikan medium yang berkesan untuk memastikan
setiap remaja kita memiliki sikap patriotik yang mendalam.
Natijahnya, semangat patriotik ini harus ditanam dengan mendalam
dalam jiwa remaja kita. Semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memastikan
usaha murni ini berjaya dilaksanakan dengan mudah. Kejayaan menanam sikap
positif ini mampu menjadikan negara ini kebal daripada arus perubahan politik
dan sosial yang melanda seluruh dunia kini. Cuma, kita harus sedar lebih awal
kita melaksanakannya maka lebih baiklah buat remaja kita sendiri.Kepentingan patriosisme di kalangan remaja
Remaja kita perlu
disemaikan semangat patriotisme untuk mengekalkan pembangunan negara
memandangkan merekalah yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa
hadapan.Huraikan kepentingan semangat patriotisme kepada remaja dan usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja.
Remaja yang bersemangat
patriotik merupakan satu aset yang tidak ternilai buat mana-mana negara termasuklah
Malaysia. Golongan ini yang masih muda dan penuh dengan impian boleh memberikan
sumbangan yang bermakna kepada negara jika diasuh dengan betul oleh generasi
lama. Kegagalan melakukan tindakan yang betul mampu menjadikan generasi remaja
ini satu bebanan pula kepada masyarakat di negara ini. Lantaran itu, banyak
kepentingan yang boleh wujud menerusi remaja yang bersemangat patriotik ini
jika usaha-usaha memupuknya berjalan lancar.Mengapakah semangat patriotik ini penting wujud dalam jiwa remaja kita? Semangat ini berguna dipupuk kerana mampu mengurangkan risiko berlakunya rusuhan kaum di negara ini. Masyarakat kita yang berbilang bangsa menjadikan perkara ini satu risiko yang boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja. Jika rusuhan kaum tercetus di negara ini maka semua pembangunan yang dirancang selama ini akan hilang begitu sahaja. Jelaslah, semangat patriotik harus dipupuk dalam jiwa anak remaja kita.
Selain itu, pemupukan
semangat patriotik ini berupaya menjamin keseinambungan pembangunan negara pada
masa hadapan tanpa sebarang kekangan. Remaja bakal meneraju pucuk pimpinan
negara pada masa hadapan dan tanpa sikap patriotik sudah pasti mereka
menganggap pembangunan negara itu sesuatu yang tidak bermakna untuk diteruskan
usahanya. Negara memang memerlukan jiwa remaja yang penuh kreativiti dan
inovatif itu dalam memastikan pembangunan negara berjalan lancar. Maka,
kewujudan semangat patriotik memang penting untuk memastikan arus pembangunan
negara mampu diteruskan.
Salah satu cara yang
mudah untuk menanam sikap patriotik ini ialah Program Latihan Khidmat Negara.
Program ini menyuntik pelbagai pengetahuan tentang negara ke dalam jiwa remaja
sepanjang mereka menyertai aktiviti positif ini. Semua aktiviti yang dijalankan
dalam program ini juga melibatkan konsep kekitaan yang mengutamakan hubungan
sesame kaum untuk mencapai kejayaan. Sesungguhnya, program yang mudah tetapi
efektif ini harus diteruskan untuk menanam sikap patriotik dalam jiwa remaja.
Subscribe to:
Comments (Atom)

.jpg)
.jpg)



